Wednesday, 5 December 2012

KINAYAH ANTARA PERLAMBANGAN DAN MAKSUD



Kinayah adalah menyebutkan sesuatu ungkapan yang dimaksudkan dengan makna lain yang bukan makna asalnya. Namun definisi yang lebih masyhur dan diterima pakai ialah pendapat al-Hasyimy yang melihat kinayah sebagai ungkapan yang menggunakan makna tersirat, di samping harus menggunakan makna tersurat. Antara tujuan kinayah adalah untuk memperelok makna dan mengindahkannya, di samping menyembunyikan sesuatu perkara daripada pendengar.


Sebagai contoh:     فُلاَن نَؤُوْمُ الضُّحاَ

Ungkapan kinayah di atas bermaksud: Si fulan  gemar tidur waktu pagi. Dalam kalangan orang Arab, ungkapan fulan na’umu al-Dhuha sangat masyhur untuk menggambarkan seseorang yang kaya. Lantaran kekayaannya itu, dia boleh tidur dan bersenang-lenang tanpa perlu gigih bekerja pada waktu pagi. Tetapi jika fulan na’umu al-Dhuha difahami dengan makna literalnya (gemar tidur waktu pagi)  juga tidak salah.

Kinayah terbahagi kepada 3 jenis. Salah satunya kinayah ‘an al-Siffat yang menyerupai bentuk “simpulan bahasa” dalam retorika Melayu.  Bahkan terdapat ungkapan-ungkapan dalam kedua-dua bahasa tersebut yang faktor lahirnya ungkapan tersebut  hampir sama.

Contohnya, ungkapan دَمٌ خَفِيْف   adalah kinayah yang bermaksud “darah cair”. Dalam retorika Melayu. “darah cair” adalah sebuah simpulan bahasa yang membawa maksud seorang yang peramah atau bermulut manis. Begitu juga dengan ungkapan  البَبْغاَء   (burung kakaktua) hampir sama dengan ungkapan “burung murai” bagi mengkiaskan "orang yang suka bercakap banyak" dalam retorika Melayu.

Namun tidak semua kinayah ‘an-Siffah boleh diterjemahkan ke bahasa Melayu untuk dijadikan “simpulan bahasa” dengan menggunakan maksud yang sama kerana perbezaan latar budaya dan geografi.  Sebagai contoh, penggunaan ungkapan panjang tangan dalam peribahasa Melayu diertikan sebagai “orang yang suka mencuri”, manakala dalam ilmu Balaghah,  طُوْلُ الذِّرَاع membawa maksud yang berlainan, iaitu orang yang banyak bersedekah.

Dalam pengajaran Balaghah di Malaysia, kinayah sering dianggap atau diterjemahkan sebagai “kiasan”. Namun tanggapan atau terjemahan tersebut kurang tepat lantaran kiasan dalam bahasa Arab merangkumi hampir keseluruhan ‘Ilm Bayan. Sebaliknya kinayah adalah sebahagian daripada ilmu tersebut, malah boleh berada di tengah-tengah antara makna hakiki dan majazi.

2 comments: